Wednesday 28 October 2009

::bercakap::

bercakap. kemahiran unggul. mula terbentuk seumur setahun jagung. bermula dengan kata paling mudah sehingga sekarang, mampu mencipta bahasa sendiri. hebat bukan? bagaimana kemahiran ini terus berkembang dan akhirnya, hingga hari ini menjadi aset terpenting segelintir kita. terutamanya minah kepoh dan joyah rongak. heboh rukun tetangga dengan sensasi berita. kucing jiran sebelah beranak jantan betina pun berada dalam pengetahuannya. hebat.

bercakap. berapa ramai yang mencetak duit daripadanya? kering air liur, namun hasil lumayan. angka dalam akaun mendadak tambah. kereta beranak pinak berjenama seberang laut. sumber pendapatan hanya dengan bercakap. benar atau bohong, belakang cerita. bukankah itu kerja Tuhan di Padang Mahsyar kelak? lagipun yang menjadi mangsa bohong bukan hali keluarga mereka. ahli keluarga mereka sudah tahu mereka ini ular kepala dua.

bercakap. berapa patah kata kita mampu tutur? sehari? setahun? sepanjang kita hidup? memang hebat bukan? tapi berapa peratus pula kata-kata itu bermanfaat? berapa peratus yang menjadi sia-sia? berapa peratus pula yang diselit kesombongan? rasa bongkak? okay, aku terasa makan cili kerinting.

bercakap. berapa banyak jiwa telah aku guris dengan perkataanku? berapa banyak jiwa yang telah aku hampakan? berapa jiwa yang telah aku nista hingga berdarah? berapa jiwa pula yang telah aku gembirakan? sedikit. terlalu sedikit hingga terbilang dengan hanya 5 jari.

bercakap. Nabi pesan jangan cakap jika tiada benda yang baik untuk disampaikan. itu pesan Nabi. tapi hakikat, aku suka sampaikan benda tidak baik. kerana sesungguhnya yang jahat itu tertonjol megah dari kebaikan bukan? aku gagal mentafsir. kadang-kadang. aku gagal menjaga apa yang berada di antara dua gigi ini. kadang-kadang.

kepada sahabat handai yang pernah aku guris perasaannya kerana tisu lembut antara dua gigi ini, maafkan aku. ikhlas.

aku rasa sudah sampai masa untuk aku kurangkan bercakap. kurang pembohongan. kurang kata-kata nista. kurang penat.


yang bermunasabah,
jamieY


No comments: